
Perisai Komuniti menyaksikan Chelsea akan menurunkan tiga pemain yang baru dibelinya Pizarro, Sidwell dan Malouda sementara United membariskan Nani, Anderson dan Hargreaves
BUAT pertama kalinya selepas tujuh tahun, perlawanan pembukaan, Perisai Komuniti FA kembali menjengah di Stadium Wembley antara dua gergasi, Manchester United dan Chelsea, hari ini.
Berdasarkan pencapaian musim lalu, skuad kebanggaan Sir Alex Ferguson tampil hebat selaku pasukan utama England sejurus mengungguli saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, Chelsea selayaknya merasa megah apabila menafikan kemaraan United di final Piala FA dan lebih ironinya apabila ia berlaku di Wembley.
Semestinya dua kelab itu bakal memperbaharui sengketa mereka dalam saingan tradisional ini, dengan harapan meletakkan satu tanda aras kepada pasukan lain dalam kempen terkini EPL.
Kedua-dua pasukan bakal menampilkan pemain baru yang diperolehi sejak musim panas lalu. Namun, wujud perbezaan kini apabila United lebih heboh dengan ramai pengambilan baru sementara Chelsea lebih senang mendiamkan diri.
Skuad The Red Devils itu mungkin menurunkan barisan baru seperti Owen Hargreaves, Nani serta Anderson di samping mengekalkan gandingan tangkas, Ryan Giggs dan Wayne Rooney yang nyata menjadi harapan utama skuad.
The Blues pula terjebak dilema berikutan kecederaan pemain utamanya Michael Ballack dan Wayne Bridge yang mengalami masalah buku lali.
Salomon Kalou juga terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut dan hanya Frank Lampard menjadi harapan meskipun turut mengalami masalah ibu jari kaki.
Bagaimanapun, seperti biasa, Jose Mourinho percaya tiada pasukan lain lebih unggul melainkan Chelsea bagi menumbangkan United.
Mourinho berjaya merangka pelan terbaik untuk mengatasi United di final Piala FA, musim lalu, dan mungkin menggunakan formula sama dalam pertemuan kali ini.
No comments:
Post a Comment